Kisah Nabi Ayyub Yang Bersyukur

Aku nak kongsi kisah Nabi Ayub A.S semasa tazkirah selepas terawih semalam. Kalau kita dapat manfaat daripada kisah ini, aku syukur sangatlah dapat berkongsi.

Nabi Ayyub yang bersyukur

Nabi Ayyub dikurniakan nikmat yang banyak daripada Allah S.W.T.

Antara nikmat yang baginda dapat ialah mengahwini dua orang isteri yang cantik pada zamannya, mempunyai ladang ternak yang banyak, dan hasil daripada perkahwinannya, baginda dikurniakan anak lelaki seramai 12 orang, dan kesemua 12 orang anak lelaki baginda menjadi pahlawan perang pada zamannya.

Nikmat yang dikecapi oleh Nabi Ayyub ini adalah selama 20 tahun.

Satu hari, Allah ingin menguji baginda lalu pada hari pertama, Nabi Ayyub terkena sakit kusta satu badan. Akibat daripada ini, seluruh orang yang mendekati baginda meninggalkannya kecuali kaum keluarga.

Hari kedua, semua ternakannya diserang penyakit menyebabkan kesemuanya mati.

Hari ketiga, Allah menarik kesemua 12 orang anak baginda dalam satu hari.

Tinggallah baginda bersama 2 orang isterinya.

Bayangkan ujian Allah terhadap Nabi Ayub pada waktu itu.

Isterinya pernah bertanya kepada baginda, mengapa tidak memohon doa kepada Allah agar diberi kesembuhan.

Baginda menjawab, "Aku malu untuk meminta kepada Allah kerana ujian yang aku terima ini, tempohnya masih tidak sama lagi dengan nikmat yang aku terima".

Baginda sanggup menempuh ujian daripada Allah untuk tempoh 20 tahun lagi semata-mata kerana malu dengan Allah.

Habis tempoh 20 tahun berlalu, pada suatu hari, Nabi Ayyub merintih kepada Allah.

وَأَيُّوبَ إِذْ نَادَىٰ رَبَّهُ أَنِّي مَسَّنِيَ الضُّرُّ وَأَنتَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ

Dan (ingatlah kisah) Ayyub, ketika ia menyeru Tuhannya, “(Ya Tuhanku), sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Tuhan Yang Maha Penyayang diantara semua penyayang.” (al-Anbiya [21]: 83)
Inilah doa yang menjadi amalan ramai sekiranya ingin menyembuhkan penyakit.

Mengikut para ulama, ayat yang diucapkan Nabi Ayyub itu bukanlah sebuah doa, tapi ianya adalah rintihan kepada Allah. Baginda tidak memohon kepada Allah untuk disembuhkan sakitnya, baginda hanya ingin bercerita tentang dirinya kepada Allah.

Selesai bacaan doa, hari pertama, kusta pada badannya mula hilang.

Pada hari kedua, orang ramai kembali mendekati baginda dan menghadiahkan pelbagai anugerah kepada baginda dan menjadikannya orang terkaya pada zamannya dalam masa satu hari.

Pada hari berikutnya, isteri-isteri baginda hamil dan dikurniakan 24 orang anak lelaki.

Pengajaran

Begitulah kisah Nabi Ayyub yang patut kita ambil iktibar.

Baginda sentiasa bersabar dan bersyukur atas nikmat dan ujian yang Allah beri.

Moga kita juga dapat mempraktikkan apa yang Nabi Ayyub buat.

Janganlah baru puasa sikit, dah mengeluh lapar sampai ke sudah ye.




Comments